Saya telah menyebut perihal ‘accountability’
dalam tulisan-tulisan saya sejak akhir-akhir ini kerana ia merupakan elemen
penting dalam pentadbiran sebuah kerajaan (Kabinet) berdaulat dan mengambil
pendekatan mentadbir negara secara demokrasi. Saya bukan hendak menyuluh
ditempat yang terang tetapi saya terpaksa menyebutnya berkali-kali kerana masih
ramai yang masih tidak mahu atau tidak tahu bagaimana pentingnya sikap ‘accountability’ atau
kebertanggungjawaban bersama seseorang ahli kepada Jemaah Kabinet negara kita itu.
‘Accountability’ itu elemen yang sangat besar
dalam mentadbir sesebuah negara. Apabila kerajaan telah melakukan perkara yang
tidak betul ia merupakan satu ‘accountability’ kerajaan atau kabinet yang
mentadbir kerajaan negara itu. Kekurangan kesedaran tentang isu ‘accountability’
inilah yang menyebabkan rakyat dikelirukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara dan insiden yang boleh memecahkan pemikiran
rakyat yang akhirnya membawa porak peranda kepada negara tersebut.
Untuk merengkaskan tulisan ini
biar kita terus sahaja kepada isu hangat yang melanda negara kita pada hari
ini. Isu 1MDB ini wajib dipertanggungjawabkan kepada semua ahli-ahli Jemaah kabinet
kerana yang mengambil keputusan tentang segala hal tentang ini adalah kabinet. Adalah tidak lojik segala kesalahan dan
tanggungjawab itu di lemparkan kepada Najib seorang.
Isu kemelut 1MDB ini sudah lama
didengari oleh rakyat jelata tetapi kabinet tidak mempedulikan isu ini kerana
ia beranggapan itu adalah isu Perdana Menteri. Perdana Menteri itu adalah ahli kabinet
tetapi beliau adalah ‘first among equal’ dikalangan barisan kabinet itu.
Melonggokan kesalahan kepada Najib seorang adalah satu tindakan untuk cuba lari
dari kebersamaan atau ‘accountability’ tadi.
Jika setiap ahli Kabinet memahami
apakah tanggungjawab sebagai seorang ahli kabinet itu tentunya mereka akan
dapat menahan dan memberikan teguran atau bantahan terhadap Najib yang
dikatakan begitu keras untuk memuaskan kehendak dan nafsu nafsinya sahaja. Tindakan
Najib meneruskan usaha yang sangat menjengkelkan tadi adalah tanggungjawab setiap
ahli kabinet untuk berhadapan dengan rakyat.
Najib berjaya meneruskan niat
yang tidak betul itu kerana beliau tahu yang kabinet itu adalah lantikan beliau
dan mereka wajar menyokong sahaja apa yang beliau hendak lakukan kerana beliau
sendiri sedar atau tidak yang ahli jemaah kabinet negara kita tidak mengambil
isu ‘accountability’ ini dengan serius.
Jika ahli kabinet tidak mahu atau
tidak tahu tentang isu ‘accountability’ ini persoalannya, apakah fungsi mereka menganggotai Jemaah menteri itu? Bukankah
menjadi ahli kabinet itu adalah tanggungjawab besar terhadap rakyat yang
mewakilkan mereka berada dalam Dewan Legilatif. Ahli-ahli Kabinet itu adalah
kerajaan dan jika ahli-ahli kabinet tidak mahu bertanggungjawab maka itu adalah
satu kesalahan politik yang tidak bermoral yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat
yang ramai.
Dalam isu 1MDB ini semua Jemaah Kabinet
mesti mengambil tanggungjawab dan tidak boleh bermain politik dengan
menghamparkan kesalahan itu terhadap Perdana Menteri seorang. Tidak adil mereka
melambakkan semua kesalahan itu kepada Najib seorang kerana kesalahan itu
adalah kesalahan bersama.
Itu sebabnya ramai yang mengerut
dahi apabila ada pihak-pihak yang cuba untuk menggantikan Najib dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Bagaimana hendak mewajarkan Muhyiddin untuk
menjadi Perdana Menteri sedangkan beliau adalah ahli kabinet yang bersama-sama mengambil semua keputusan dalam setiap kabinet termasuk dalam meluluskan segala isu tentang 1MDB ini.
Mungkin Muhyiddin mempunyai sebab
untuk menggantikan Najib jika dari awal lagi beliau tidak bersetuju dengan pengendalian
1MDB oleh Najib itu. Jika dari awal Muhyiddin menunjukan sikap ‘accountability’
tadi beliau sepatutnya telah meletakan jawatan
sebagai protes terhadap kedegilan Najib dalam mengendalikan isu 1MDB ini.
Tetapi Muhyiddin dan Menteri-Menteri kabinet yang lain tidak bertindak demikian,
malahan telah menambah parahkan imej kabinet ini dengan meluluskan ‘standby credit’ sebanyak
RM950 juta untuk 1MDB dalam mesyuarat kabinet dua bulan yang lepas.
Apa ini semua? Muhyiddin
sepatutnya menahan selera untuk menggantikan Najib itu kerana beliau juga
adalah salah seorang yang bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dalam 1MDB
itu. Bercakap dan mengkritik Najib didalam majlis tertutup sahaja tidak
membolehkan beliau terlepas dari menerima tanggungjawab dan ‘accountability’
tadi.
Sepatutnya sekarang ini setiap
ahli kabinet boleh menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Dr Mahathir
dan yang lain-lain itu kerana keputusan itu adalah keputusan kabinet dan setiap
ahli kabinet tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat kabinet itu.
Setiap Menteri Kabinet wajar berhenti dari meminta Najib menjawabnya
sendiri kerana jika Najib tidak tahu untuk memberikan jawapannya maka mana-mana
ahli kabinet boleh menjawabnya dalam keadaan yang terdesak ini.
2 comments:
Jika jaminan bertulis PM tandatangan sendiri tanpa pengetahuan apa lagi kelulusan kabinet PM legally responsible and liable .Tetapi jika kabinet mengetahui dan bersetuju itu PM bolih lepas.Dari akhbar kita dapati kabinet tak tahu langsung jadi bagaimana mereka tu dipersalahkan.PM memang tak bertanggung jawab kerana mengaitkan kabinet dan rakyat hinggakan negara terpaksa tanggung hutang dibuat olih PM .PM tak bolih anggap apa yang dibuatnya wajib disokong olih kabinet kalau tidak yang tak sokong tu perlu letak jawatan.Kalau ini dibuat olih ketua eksekutif syarikat bukan sahaja dia akan dipecat tetapi juga dia akan dipertanggung jawabkan untuk ganti kerugian atau dibawa kemahkaman untuk paksa ketua eksekutif bertanggung jawab .Inilah perlunya kalau belajar perlulah habiskan supaya tahu sikit peraturan prosedur empthy tanggung jawab dan perasaan orang.
DiMalaysia semuanya terbalik yang betul itu salah dan yang salah tu betul dan yang herannya ramai pula orang umno ni menyokong yang salah...tak tahulah apa nak jadi...
Rakyat pun perlu disedarkan apakah implikasi hutang 1MDB kepada rakyat jelata.....Yang digembar gemburkan ialah KALAU TAK SETUJU DENGAN PEMIMPIN MEREKA TU PERLU LETAK JAWATAN . Kalau mencuri rm500 atau terima rasuah dan dapati bersalah olih mahkaman yang dituduh itu dipenjarakan dan bolih dibuang kerja....jadi mengapa dasar yang sama dikecualikan kepada pemimpin...
Selagi ada perasaan kepentingan diri sendiri, tamak, gila kuasa, pengampu, pengecut, pembohong, penipu, pemfitnah, tidak ada sifat kritis dan lain-lain maka kita tidak akan melihat sifat-sifat keadilan, keperwiraan, kesederhanaan di dalam sesebuah negara, parti politik maupun organisasi.
Sifat-sifat negatif itu akan merusakkan kehidupan orang yang tidak bersalah dan jangan lupa amanah dari rakyat ..... dan amanah dari Tuhan Yang Maha Kuasa.
Kepimpinan yang tidak berdasarkan mesej Quran akan menerima siksa dari Tuhan di akhirat kelak.
Di kalangan orang awam/rakyat juga mesti boleh menilai orang mana atau parti mana yang boleh memimpin secara adil dan saksama.
Sekiranya kita mengundi parti atau pimpinan yang terang-terang siang hari ada kerja rasuah dan lain-lain perkara negatif, maka kita juga dapat saham dosa yang berat.
Pimpinan yang adil dan bijaksana tidak semestinya orang itu berjubah berserban, tapi kalau dia seorang ekonomis, saintis atau bekas tukang kayu, kalau dia memimpin menurut Quran (tidak mudah mengelabah) maka mereka ini yang kita pilih dan amanahkan untuk menjaga negara kita Malaysia yang tercinta.
Tidak ada manusia yang sempurna, tapi kalau sekumpulan pimpinan ada sifat mengkritis secara sihat maka pemimpin akan dapat diperbaiki.
Post a Comment