07 July 2014

Parang bengkok sedang menebas, siapa yang menghayun parang itu?

Jika benar TS Khalid akan diberhentikan kerja sebagai Menteri Besar Selangor, ia tidak boleh diselesaikan dengan menggantikan orang lain dalam PKR untuk memegang jawatan penting itu dengan begitu mudah. Pengguguran Khalid itu merupakan kemuncak kepada kemelut PKR dan ia akan membawa masalah sampingan yang leboih besar setelah beliau dilucutkan jawatan itu.

Ia bukan setakat menggantikan dengan Wan Azizah atau Azmin misalnya kerana ia berlaku diatas permainan politik pucuk pimpinan parti itu. Yang bercakap meminta Khalid berhenti ini hanyalah mereka yang di rancang untuk berkata seperti yang kita dengar sekarang. Baik kata-kata dari Rafizi atau pun sesiapa seperti Shamsul Iskandar Akim serta beberapa yang lain itu, ubarat parang bengkok untuk menebas belukar sahaja.

Rafizi dan Shamsul Iskandar itu hanyalah ibarat parang bengkok itu. Yang menghayun parang bengkok itu ialah Anwar sendiri. Maka yang akan menjadi tirus dan nipis mata parangnya ialah Rafizi atau Shamsul setelah begitu hebat hayunan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti itu untuk menebas Khalid dan sesiapa yang bersama dengan Khalid.

Yang boleh memberhentikan hayunan dan tebasan parang-parang bengkok tadi hanyalah yang menghayun parang-parang bengkok itu, iaitu Anwar sendiri. Jika Khalid ditebas licin maka yang menebasnya ialah Anwar pada hakikatnya. Jika Anwar mahu menyimpan parang-parang bengkok itu mudah sahaja, tetapi Anwar mahukan parang bengkok itu terus menebas belukar yang bernama Khalid itu.

Tetapi berjayakah usaha menebas Khalid ini tanpa menghadapi risiko kepada parti itu sendiri? Kalau hendak menebas atau membersihkan belukar ia perlu di hapuskan urat-urat belukar itu sekali, kerana urat-urat yang masih hidup itu akan kembali bercambah dan merimbun.

Sedikit sebanyak TS Khalid telah membina dan mempunyai sokongan akar umbi yang bertambah kuat. Kenyataan PAS yang parti itu tidak terlibat dengan memaksa Khalid berhenti itu adalah tindakan yang bertepatan, kerana jika timbul penolakan kepada PKR itu ia akan membawa padah kepada parti-parti komponen Pakatan Rakyat juga. Shamsul Iskandar telah menempelak Khalid yang Khalid menjadi MB itu ialah kerana sokongan parti-parti dalam PR maka Khalid harus akur kepada kehendak PR jika beliau terpaksa berhenti kerja kali ini.

Apa pun dan siapa pun bersetuju dengan kata-kata Shamsul itu tidak penting kerana hakikatnya Pakatan Rakyat telah mendapat kekuatan dengan rekod Khalid mentadbir Selangor dan itu pun sebabnya PAS dan DAP mendapat sokongan padu sehinggakan UMNO hanya mempunyai 12 kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu.

Memberi notis berhenti kerja kepada Khalid merupakan usaha yang bukan mudah untuk dilakukan. Jika tidak dilakukan dengan cara yang baik, kehilangan sokongan kepada Pakatan Rakyat di Selangor itu akan terjejas dan ia merupakan peluang untuk UMNO dan BN kembali bertapak kembali di Selangor.

Jika akhirnya Khalid diketepikan maka sesiapa dari PKR mengambil alih akan menghadapi masalah besar. Jika benar ada kejujuran dikalangan komponen Pakatan Rakyat maka sesiapa yang menggantikannya tidak perlu datang dari PKR. Ia boleh datang dari PAS kerana di Selangor PAS mempunyai ahli-ahli legislatif yang mempunyai ketokohan besar. Yang perlu seseorang yang mengambil alih jawatan MB itu seorang Melayu Islam seperti yang dikehendaki oleh undang-undang tubuh negeri Selangor itu.

Saya tidak nampak bagaimana PKR boleh memperkuatkan kedudukannya di Selangor dengan mengalih dan menganjak Khalid Ibrahim. ‘Consequence’ nya dikalangan rakyat akan menjadi besar dan belum tentu ia boleh memperkuatkan PKR jika sokongan akar umbi terjejas. Ia bukan sahaja menjejaskan sokongan terhadap PKR malahan ianya juga menjejaskan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat sendiri di Selangor, malahan ia akan juga membabitkan sokongan terhadap PR di seluruh negara sedikit sebanyak.

Tetapi selalunya apabila sudah bergaduh dan bersalah-salahan jarang diantara mereka yang bersalah-salahan itu mahu dan mampu berfikir sampai ketahap itu. Keegoan dan sifat amarah itu susah untuk dibendung dan lazimnya pertubuhan itu akan jatuh merudum akhirnya.

Mungkin dalam PKR itu ramai yang berpelajaran, tetapi harus diingat, dalam politik itu seperti kata-kata orang tua-tua dahulu, ilmu tanpa akal tidak mencukupi. Akal itu lebih penting. Ada perbilangan ‘biar ilmu itu sebelit, asalkan akal itu dua belitnya’. Kita telah melihat dari dulu sehingga sekarang betapa ramainya pemimpin yang berpelajaran yang tinggi  jatuh tersungkur kerana tidak mempunyai ‘wisdom’ yang tinggi semasa memegang kuasa.

Kita yang ramai-ramai di Selangor sedang melihat pimpinan PKR yang mana satu yang lebih, akal atau ilmu semata-mata.

6 comments:

Anonymous said...


DSAI lah yang menghayunnya!!

kampong lad said...

'Memberi notis berhenti kerja'

dulu dia dapat, sekarang dia nak bagi tapi salah target kot? highly likely it will back-fire.

Anonymous said...

Rasanya Langkah Kajang tu hampir berjaya, Anu war tahu dia akan di 'Sungai Bulohkan' yang terletak di Selangor tak lama lagi, maka meletak orang dia sebagai MB baru akan 'melonggarkan' kurungan dia di situ atas 'budi-bicara' MB baru ... seterusnya 'lu pikir lah sendiri.
Macam kisah dulu bila Pak L*h jadi PM yg merupakan kroni Anu war, dia terus bebas dari Sungai Buloh - get the picture?

Anonymous said...

Menarik juga analysis anom 06:39.

Mungkin selangor akan digunakan sebagai bargaining power utk individu tertentu.

Itulah politik nafsu amarah....

Anonymous said...

Parti Keadilan Rakyat dah ikut perangi Umno balik... Kalau ini gayanya, pilihanraya akan datang baik bagi kat umno/BN je, kerana tak da beza... Menyesal pulak bagi undi kat PKR...

ELBI RISALAH said...

Apalah salahnya Khalid Ibrahim tu jangan diusik-usik sampai PRU akan datang. Kan dia dah cakap nak jadi MB dua penggal sahaja....

Jangan duduk sebelum berlunjurlah...

Sabarlah menunggu masanya yang akan tiba. Perkuatkan PKR supaya tambah kukuh dulu. Kalau ayik jatuh menjatuh, takut nanti : Yang kalah jadi abu, yang menang pun jadi arang ! . UMNO dah bersiap-siap tau sekarang ni !