26 July 2014

Rayakan lebaran dulu, lepas itu boleh usulkan undi tidak percaya

Pakatan Rakyat, wujud di atas kerjasama dan persefahaman di antara parti-parti pembangkang di Semenanjung ini untuk menjadi ‘alternative’ kepada Barisan Nasional. Kewujudannya begitu nyata setelah UMNO terbelah semasa perkelahian diantara Dr Mahathir dan Anwar dalam mana ia berlaku dalam keterdesakan Mahathir untuk mengekalkan kuasa dengan tempoh yang lama dengan keinginan yang kuat untuk Anwar menjadi Perdana Menteri dalam masa yang singkat.

Apabila Anwar dipecat dari parti dan kerajaan, UMNO menjadi pecah dan akhirnya wujud apa yang di namakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar dan parti ini hanya memperjuangkan nasib Anwar yang mereka anggap di zalimi oleh Dr Mahathir. PKR memilih Presidennya seorang wanita yang juga isteri dan proxy kepada Anwar. Kata-kata Azizah itu adalah kata-kata Anwar.

Sejak dari itu Anwar berjuang untuk mendapatkan apa yang beliau idamkan melalui PKR dan berbagai-bagai perkara yang besar dan kecil berlaku. Keseluruhan perjuangan PKR ialah untuk membuatkan rakyat berfikir apa yang dilakukan terhadap Anwar itu merupakan konspirasi politik Dr Mahathir dan UMNO, termasuk tuduhan terhadap beliau dalam seks luar tabii dan sebagainya.

Maka berkompromilah PKR dengan parti-parti pembangkang, PAS dan DAP bagi menambah kekuatan untuk meletakkan beliau dan ‘coalition’ dalam PR itu sebagai pihak ‘alternative’ kepada BN yang beliau hendak gulingkan itu. Segala tuduhan Anwar dan partinya terhadap UMNO dan BN itu semuanya tuduhan yang benar, sebaliknya apa yang dituduh oleh UMNO dan pimpinannya itu semuanya salah dan hanya merupakan konspirasi politik semata-mata.

Pendeknya tuduhan yang buruk-buruk bunyinya hanya layak untuk UMNO dan apa yang dituduh terhadap beliau itu adalah tuduhan yang tidak benar. Di Mahkamah pula jika pihak Anwar mendapat kemenangan itu adalah keputusan yang baik dan badan kehakiman itu adalah badan yang adil dan saksama.

Tetapi apabila mahkamah mendapati beliau bersalah itu adalah mahkamah ‘kangaroo’ dan mahkamah yang mengikut telunjuk UMNO. Yang layak memenangi kes-kes di Mahkamah hanyalah PKR dan Anwar dan yang layak kalah dalam perbicaraan itu hanyalah untuk UMNO dan BN.

Yang sedang berlarutan isu sekarang ialah isu Anwar mahukan TS Khalid Ibrahim, Menteri Besar pilihan beliau sendiri, digantikan setengah jalan dan digantikan oleh isterinya Azizah. Apabila memilih isterinya untuk menggantikan Khalid, itu adalah keperluan untuk menstabilkan parti. Tetapi yang membuatkan parti itu tidak stabil ialah beliau sendiri dan menggunakan kesempatan yang di ada-adakan itu untuk kepentingan beliau juga, melalui isterinya itu.

Itu lah yang saya katakan selalu apabila timbul kecelaruan itu, mesti pihak Anwar akan mengambil kesempatan untuk kepentingan beliau dan keluarganya. Anwar banyak belajar dari Dr Mahathir dan beliau merupakan murid Mahathir yang paling bijak sehinggakan Dr Mahathir sendiri merasa cemas dengan kemajuan Anwar mengikuti syllabus politik yang di ajar oleh beliau. Akhirnya Mahathir membuang Anwar ketepi dengan isu sodomy yang beliau yakin telah dilakukan oleh Anwar sejak beberapa lama sebelum itu.

Dalam proses untuk mendapatkan apa yang beliau idamkan, Anwar dengan bijak telah membawa bersama PAS untuk menjayakan cita-cita beliau dan juga DAP yang sebelum ini tidak mempunyai kemampuan, usahkan untuk mendapatkan kuasa, hendak mendekati kuasa pun tidak nampak jalannya.

Akhirnya dalam proses ini DAP telah berjaya mendapatkan kerajaan P Pinang, PAS telah mendapat Kelantan dan Kedah dan PKR memilih untuk mendapatkan kepimpinannya di Selangor, negeri yang terkaya dalam Malaysia ini. Sementara PAS telah kehilangan kembali kuasa di Kedah, PKR dengan menggunakan kecemerlangan Khalid Ibrahim telah berjaya menempa kekuatan yang paling optima dengan hanya memberikan 12 kerusi kepada UMNO dan BN di negeri itu.

Selepas pilihanraya umum yang lepas, hanya Khalid sahaja dalam PKR yang menikmati kuasa eksekutif kerana Anwar telah gagal untuk mendapatkan jawatan idaman beliau sebagai Perdana Menteri negara. Anwar memerlukan kuasa dalam kerajaan untuk terus menjadi pemimpin yang ber ‘consequence’ maka tidak ada pilihan lain selain dari memulakan 'Kajang Move' yang sepatutnya ditandingi oleh beliau dalam PRK Kajang itu.

Nasib sekali lagi tidak menyebelahi Anwar lantaran beliau di sekat untuk bertanding kerana di sekat oleh Mahkamah Rayuan dalam kes sodomy 2 beliau. Maka isteri beliaulah yang menggantikan beliau sebagai proxy beliau yang beliau paling percayai. 'Kajang Move' itu diteruskan melalui isterinya dan masa untuk menyempurnakan sudah sampai dengan meminta Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai MB bagi memberikan laluan kepada beliau melalui ‘proxy’ nya Wan Azizah.

Kini jalan untuk meletakkan Wan Azizah menempuh jalan sukar kerana PAS tidak begitu gemar dengan tindakan meletakkan Wan Azizah sebagai MB dan memancung Khalid yang menyandang jawatan itu setengah jalan tanpa mempunyai kesabaran untuk menunggu sehingga pilihanraya yang akan datang.

Selama ini Anwar mengambil segala tindakan beliau itu ‘for granted’ dan PAS akan menyokong tindakan beliau itu. Anwar telah tersalah anggap yang PAS adalah parti yang sentiasa bersetuju dengan kemahuan beliau, dipanggil datang, di suruh pergi. Jika di suruh duduk, PAS akan duduk, jika disuruh memikul yang berat, PAS akan memikulnya tanpa soal.

Anwar sentiasa menganggap ahli-ahli PAS dan pimpinannya sebagai ‘fixed deposit’ bagi beliau dan PKR. Simpanan tetap ini boleh dibelanjakan dan boleh di simpan terus mengikut kemahuannya. Pemimpin PAS di haramkan oleh menggeleng, kerana tugas PAS telah ditentukan oleh Anwar hanya untuk mengangguk seperti burung balam sahaja.

Tetapi Anwar terkejut apabila usahanya untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim untuk di gantikan dengan isterinya sudah tidak mendapat sokongan kebanyakkan pimpinan PAS, khususnya di Selangor sendiri dan pucuk pimpinannya TGHA.

Kalau DAP menzahirkan rasa tidak sabar lagi terhadap Khalid Ibrahim, PAS pula mempunyai perasaan yang sama terhadap Anwar. Ekoran dari kenyataan TGHA yang mahukan Khalid kekal sebagai MB, PKR melalui Saifudin Nasution telah berkeras yang apa yang dihasratkan oleh Anwar dan PKR itu tetap akan dilakukan. Ramai di antara yang rapat dengan Anwar telah mengkritik TGHA kerana Presiden PAS itu sudah merasakan keletihan mengangguk dalam semua kemahuan Anwar sampai dirasakannya PAS itu tidak lagi mempunyai maruah.

Anwar kecewa kerana PAS tidak mahu menjadi ‘conduit’ kepada kemahuan beliau terus-terusan. Kalau begini keadaannya maka tiada jalan lain selain dari mengemukakan ‘usul tidak percaya’ terhadap Khalid Ibrahim, dan Khalid sendiri menyatakan yang undi tidak percaya kepada beliau itu boleh dilakukan kerana ia di benarkan oleh Perlembagaan Negeri dan Negara.

Sementara menunggu usul tidak percaya terhadap beliau, Khalid akan terus melaksanakan tugas beliau sebagai MB, dan beliau telah berjanji kepada Ke Bawah Duli Tuanku untuk menjalankan tugas beliau seperti biasa.

Dalam masa yang sama yang bercita-cita untuk menjadi MB itu juga patut berbuat seperti biasa dan mengesat dahulu air liur yang sedang meleleh itu dan rayakan Aidilfitri dahulu. Lepas lebaran ini usulkan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri terhadap Khalid Ibrahim.

Settle this issue once and for all.

5 comments:

ras abu said...

Nasihat kepada PKR/PR - buat tinjauan pendapat rakyat Selangor yang memberi kemenangan lebih 2/3 dalam PRU13 lepas.

Nasihat kepada MB TSKI supaya percepatkan program mengrakyatkan ekonomi Selangor supaya rakyat yang memberi sokongan padu dalam PRU13 lepas dapat merasai nikmat kejayaan pimpinan PKR/PR memerintah. Dana sudah ada dan perlu dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat dan bukan untuk laba kepada pemimpin parti.

Anonymous said...

Semenjak Tun Salleh Abas dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara, diperlihatkan dengan jelas iaitu sistem kehakiman tidak lagi bebas. Bagaimana pula dengan pertembungan Team A dan Team B dulu? Apakah hakim benar-benar bebas menentukan keputusan berkaitan isu politik?
Gabungan pembangkang mula diasaskan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang hampir berjaya menumpaskan BN, jika tidak disekat oleh keputusan mahkamah dan jentera kerajaan.Hanya ketika itu kesedaran politik rakyat baru mencelikkan mata mereka. Semua peluang Semangat 46 khususnya dan Barisan Alternatif amnya disekat dengan menggunakan mahkamah yang telah dilacur itu. Mahkamah sudah hilang intergritinya. Rasanya tuan Aspan dapat menyelami isu ini dalam memperkatakan penglibatan keputusan mahkamah, mengenai kes perbicaraan berunsurkan kepentingan politik BN terutamanya UMNO.

Anonymous said...

Ras Abu.

Rssanya program merakyatkan ekonomi selangor memang sedang berjalan (Rujuk selangorkini)
Mungkin adun2 yg tidal aktif...sebab tu ada audit sedang dijlnkan....huhuhu

Anonymous said...

Tuan, saya rasakan PAS perlukan Anwar dan Anwar juga perlukan rakan PAS dan DAPnya.Kalau semua berkaitan Anwar adalah negatif saja,saya rasa Malaysia akan terus mundur jika umno masih memerintah.Mahukan kita melihat cucu-cicit kena di buli oleh kerajaan sekarang?Cukuplah.Kalau pun kita tak suka individu tertentu,tetapi hasil usahanya dapat memecah kebejatan yang banyak dilakukan umno.Maka dengan itu umno tak boleh cakap besar lagi.

Anonymous said...

Plan A "Wayang Kajang" nampak ada justifikasi politik di dalamnya dan kalau berjalan lancar sokongan akan bertambah.

Apakan daya bilamana pelan A tersekat di pertengahan jalan dan penggantinya...plan B...dilihat seumpama 'bidan terjun'.

Rakyat teleh bersuara iaitu pelan B tidaklah sebaik pelan A menerusi majoriti undi yang lebih rendah.

Pas memiliki sokongan bukan sedikit di Kajang. Sokongan ini tidak berkurangan dan tidak boleh diperjudikan dengan Pelan B.