26 April 2008

Pak Lah desperate

Dalam keadaan kita bermurung dan mendengar saranan demi saranan supaya Pak Lah (PL) meletakkan jawatan kita diberitahu bahawa beliau akan memanggil ketua-ketua cawangan seluruh negara ke Putrajaya bermula 3hb Mei ini.

Ramai berpendapat, tindakan PL ini melambangkan perasaan ‘desperado’ beliau untuk mengekalkan jawatan yang orang ramai minta beliau tinggalkan.

Populariti PL menjunam dengan teruknya dan beliau sedang cuba untuk memperbaiki perasaan kurang yakin rakyat terhadap beliau.

“Mahal betul untuk menegakkan Pak Lah ini,” kata seorang bekas menteri kepada saya.

Banyak waktu dihabiskan untuk kepentingan peribadi, dan tentunya akan memakan belanja yang banyak selain daripada membuang masa pemimpin-pemimpin cawangan semata-mata untuk menegakkan benang yang basah.

Akhirnya nanti, PL akan menjadi PM yang paling banyak menghabiskan masa untuk berpolitik daripada memberi fokus kepada mentadbir negara.

Sebenarnya, jika PL hendak menambahkan sokongan daripada rakyat beliau mestilah dilihat bekerja dengan kuat untuk memperbetulkan pentadbiran negara dan tunjukkan bahawa beliau benar-benar serius untuk membina semula kelemahan kerajaan yang dipimpinnya.

Saya tidak tahu siapakah penasihatnya sehinggakan beliau sanggup berbelanja jutaan ringgit semata-mata untuk kepentingan politik peribadi beliau.

PL masih lagi melakukan perkara-perkara yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan sebaliknya akan menuduh pihak-pihak lain apabila rakyat bertindak menentang kerajaan.

Contohnya, beliau telah menuduh pihak-pihak lain melakukan sabotaj terhadap parti sedangkan kelemahan kepimpinan dan politik keluarga yang diamalkannya itu sendiri merupakan tindakan sabotaj kepada parti.

Bagi saya, hasrat untuk menaikkan kembali imej beliau ke tahap yang dahulu tidak akan kesampaian kerana jarang-jarang sekali rakyat mana-mana negara akan menerima dan mempercayai pemimpin yang telah ditolak.

Apapun alasan yang diberikan untuk menghalalkan tindakan ini, rakyat akan melihatnya sebagai tindakan yang ‘desperate’, imej yang sangat buruk bagi seseorang pemimpin.

Cara yang terbaik bagi PL untuk membersihkan namanya ialah dengan bersara dan berehat dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya berbuat perkara lain yang lebih memberi faedah kepadanya.

PL sepatutnya memilih untuk mengikuti contoh Datuk Husein Onn yang meletakkan jawatan apabila beliau mendapati sebilangan ahli-ahli parti tidak berpihak kepada beliau walaupun tentangan terhadap beliau tidaklah seberapa.

Beliau (Datuk Husien) tidak mahu melihat partinya berpecah-belah demi memastikan UMNO itu tetap utuh dan dihormati rakyat terutamanya kaum asing.

Apabila PL masih lagi mahu terus bertahan dalam keadaan sekarang ini, orang ramai mula berfikir bahawa beliau ingin menutup pekong-pekongnya dahulu sebelum bersara.

Pendek kata, bermula 3hb Mei ini akan bermulalah tindakan ‘desperado’ PL yang akan disaksikan oleh bukan sahaja ahli-ahli UMNO dan rakyat malahan juga masyarakat antarabangsa.

Tindakannya ini boleh diibaratkan seperti memasukkan air ke dalam telinga untuk mengeluarkan air yang sedia ada di dalam telinga itu.

Saya tidak pasti sama ada PL sedar bahawa rakyat sedang memerhati dengan teliti segala tindak-tanduknya sebagai pemimpin lemah yang amat sayangkan jawatan dan kepentingan keluarganya.

Kita penat melihat pemimpin seperti ini yang sanggup memperjudikan nasib bangsa dan negaranya semata-mata hendak menyelesaikan masalah yang beliau sendiri lakukan.

Saya berharap PL dapat menggunakan pemikiran sendiri sedikit sebanyak daripada mendengar 100% cakap-cakap orang kelilingnya yang mempunyai kepentingan peribadi.

Orang kelilingnya tentulah mengambil kesempatan atas masalah yang beliau sedang hadapi.

Masa keadaan kelam kabut inilah orang-orang yang menasihatkan Pak Lah ini menjadi orang penting dan mungkin dapat peluang ‘bisnes’ besar dalam sekelip mata.

Semasa air keruh inilah lukah-lukah dipasang untuk menjerat ikan yang besar-besar.

PL seperti biasa pasti tidak sedar akan permainan ini kerana beliau ini susah untuk memikirkan perkara yang berat-berat.

Akhirnya nanti PL tentu akan tahu jua tetapi waktu itu segala-galanya sudah terlambat.

Semoga Tuhan memberi hidayah kepada pencetus Islam Hadhari ini!

Sekian…………………………………………………………………Aspan Alias

1 comment:

Anonymous said...

Sdra ASPAN
Masalahnya ialah ramai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO masa kini, masing-masing macam PL sendiri, nak juga "shoruu.."... walau jerit macamana pun PL tahu ramai penyokong dia...mcm Najib, Tyson, Jo Seposen, dan ramai lagi..

ikhlas dari saya
mBahLanang