21 April 2008

‘REVISIT’: Tun Salleh, Kumpulan 11 dan Pengharaman UMNO- Bahagian 1

Tun Salleh telah dikorbankan oleh keadaan.

Pemilihan jawatan tertinggi dalam parti pada tahun 1987 merupakan pemilihan yang amat bersejarah dalam sejarah UMNO yang telah membawa UMNO ke liang lahad yang dilakukan oleh kumpulan yang menang.

UMNO itu sekarang sudah tiada lagi dan ramai ahli-ahli UMNO yang sekarang ini tidak tahu parti yang kita anggotai ini merupakan sebuah parti yang baru dengan pendaftaran yang baru serta sejarahnya yang baru.

Malahan parti yang kita anggotai ini mempunyai sejarah yang begitu muda kerana umurnya adalah lebih muda dari umur anak bongsu saya.

Sudah lama saya teringin untuk menulis tentang isu ini, tetapi saya ada sedikit ‘apprehension’ untuk menulisnya kerana tidak mahu mengingati sejarah hitam ini.

Ianya terlalu pahit untuk diingati kerana insiden-insiden yang berkaitan ini telah merubah dan memberi corak dan nilai baru dalam perjuangan orang melayu yang telah beransur-ansur hilang identitinya.

Tetapi saya terpanggil untuk menulisnya kerana ramai pemimpin membuat kenyataan yang sangat mengelirukan sejarah dan saya tidak rela keadaan ini berlaku.

Ini termasuk menuduh bahawa Tengku Razaleigh pernah meninggalkan UMNO dan kumpulan 11 orang yang menyaman UMNO adalah didalangkan oleh TR dan rakan-rakannya.


Apabila timbul isu sejarah pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas baru-baru ini saya mengambil kesempatan ini untuk menulis kerana saya sendiri telah mengambil keputusan untuk menghidupkan UMNO lama dengan menyertai Parti Melayu Semangat 46.

Saya berharap kepada rakan-rakan yang terbaca tulisan ini akan menerimanya dengan hati yang terbuka dan jujur kerana motif saya untuk menulisnya adalah semata-mata hendak memperbetulkan sebahagian sejarah yang telah diselewengkan oleh sesetengah pihak.

Kita mulakan dengan mengingati kembali insiden kumpulan 11 orang ahli UMNO yang telah menyaman UMNO kerana terdapat beberapa orang perwakilan yang muflis dan perwakilan-perwakilan haram dari cawangan-cawangan haram.

Sesungguhnya kumpulan ini telah membuat perbincangan dengan salah seorang daripada kumpulan Team B tentang isu kesalahan-kesalahan ini.

Nama pemimpin itu ialah Dato’ Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menang sebagai Naib Presiden dalam pemilihan itu.

Dato’ Radzi Sheikh Ahmad merupakan orang kuat yang menggalakkan kumpulan 11 ini ke mahkamah dan telah bersetuju meminta Puan Hajjah Marina Yusuff untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

Tengku Razaleigh tidak ada kena mengena atau berbincang dengan kumpulan ini kerana beliau telah meninggalkan negara untuk bercuti selama hampir 3 bulan di Eropah.

Akhirnya saman ini telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan Hakim Harun Hashim yang merupakan hakim yang mendengar kes ini.

Kumpulan 11 ini meminta mahkamah membatalkan pemilihan yang dilakukan dengan cara yang salah dan mengadakan pemilihan sekali lagi.

Ada antara perwakilan dalam Perhimpunan Agong 1987 itu adalah perwakilan haram dari cawangan-cawangan haram yang dilakukan oleh pihak Dr Mahathir untuk memastikan kemenangan beliau.

Beberapa orang pemimpin UMNO di peringkat MKT telah mengadakan perundingan dengan kumpulan 11 ini untuk mencari titik penyelesaian tetapi semuanya menemui kegagalan.

Pemimpin ini tidak mahu mereka meneruskan niat kumpukan ini pergi ke mahkamah.

Mereka takut untuk mengulangi pemilihan kerana kepada siapa yang tahu Dr Mahathir mendapat kemenangan tipis dengan cara yang meragukan banyak pihak.

Dato’ Kadir Sheikh Fadzil pernah memberikan ‘cerita dalam’ di pihak urusetia UMNO.

Dato’ Kadir membayangkan yang kumpulan yang menang ini tidak akan mahu mengadakan pemilihan sekali lagi dan mereka sanggup untuk memohon UMNO itu diharamkan.

Tetapi kumpulan 11 tidak percaya yang pihak Dr Mahathir akan sanggup berbuat demikian kerana UMNO ini adalah parti yang membawa negara ke arah kemerdekaan dan parti yang telah menjadikan beliau sebagai PM.

Rupa-rupanya pandangan kumpulan 11 itu meleset, kerana apabila kumpulan 11 sudah hampir berjaya di mahkamah peguam Sri Ram yang mewakili UMNO telah memohon kepada mahkamah supaya UMNO diisytiharkan sebagai pertubuhan haram.

Hakim Harun Hashim telah mengishtiharkan UMNO haram dan UMNO itu sebenarnya halal sehingga pemilihan 1984 sahaja.

Dr M tidak mahu melihat UMNO asal terus wujud bagi mengelakkan pemilihan semula sepertimana yang diarahkan oleh Hakim Harun Hashim.

Banyak pihak telah meminta Dr Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri menggunakan Akta Pertubuhan 1965 seksyen 70 untuk menghidupkan UMNO.

Akta itu menyebut Menteri Dalam Negeri boleh menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya untuk menghidupkan mana-mana pertubuhan termasuk UMNO yang diharamkan oleh mahkamah.


Apabila Dr M enggan berbuat demikian, maka bermulalah episod-episod yang begitu ‘exciting’ selepas itu.

Ianya termasuklah insiden-insiden kumpulan 11 membuat rayuan ke Mahkamah Agong, pemecatan Tun Salleh Abas, penubuhan UMNO (BARU), penubuhan Parti Melayu Semangat 46 dan beberapa perkara lain yang mempengaruhi rakyat dan negara kini.

Jika sampai umur sehingga esok hari saya akan menyambung rencana ini mengikut apa yang saya ingat sebagai seorang yang hampir dengan pihak-pihak yang tertekan dalam perjuangan ini.

Sekian sahaja…………………………………………………… Aspan Alias

No comments: