09 September 2015

Najib perlu melakukan introspeksi diri secara intensif, insyaallah terjumpa penyelesaiannya

Keadaan negara masih belum dapat ditentukan keadaannya.  Setidak-tidaknya buat beberapa minggu dan bulan ini kita belum akan berjumpa dengan penyelesaiannya. Berbagai isu yang dihadapi oleh Najib dan kabinetnya tetapi belum satu pun persoalan yang ditimbulkan rakyat terhadap kepimpinan beliau telah dijawab dengan jujur dan tepat. Di sebaliknya Najib menyalahkan pihak yang mengkritik beliau yang menyebabkan keadaan menjadi sedemikian rupa. 

Berbagai cara dan permainan dilakukan oleh mereka yang memimpin hari ini untuk mengalihkan pandangan ramai terhadap isu sebenarnya yang rakyat mahu Najib menjawabnya. Najib tetap membisu tanpa memberikan jawapan yang betul dan tepat terhadap soalan yang diajukan terhadap beliau. Apabila disoal siapa yang menyuruh dan mengarahkan Sirul membunuh Altantuya Najib menjawab beliau tidak terlibat dalam pembunuhan itu dan beliau telah bersumpah didalam masjid untuk menafikannya.

Dalam isu 1MDB pula Najib menafikan yang beliau tidak mencuri wang 1MDB tetapi beliau tidak memberikan dalil-dalil dan bukti yang beliau tidak mengambil dan mencuri wang yang berbillion ringgit itu sedangkan dalam masa yang sama jugalah 1MDB menghadapi masalah kewangan yang sangat besar dengan bebanan hutang yang berbillion ringgit jumlahnya. Dalam masa itu jugalah sebanyak RM2.6 billion masuk dalam akaun peribadi beliau sebelum pilihanraya umum yang lalu.

Beliau memberikan jawapan kepada persoalan ini dengan menyatakan kepada kita yang wang sebanyak RM2.6 billion itu adalah derma politik dari seseorang dari Timur Tengah dan sampai ke hari ini beliau tidak menamakan sesiapa yang begitu baik untuk menderma tanpa mempunyai apa-apa 'string attached' terhadap derma itu.

Dua bulan lepas beliau telah secara terbuka berjanji yang isu 1MDB akan beliau selesaikan dengan sempurna. Sekarang sudah dua bulan berlalu, tetapi semakin hari semakin kabur keadaan 1MDB ini. Sama-samalah kita tunggu, kita akan dibohongi lagi. Isu 1MDB tidak akan selesai. Beliau berjanji selama enam bulan itu kerana orang Melayu terutamanya pada anggapan Najib akan lupa tentang semua isu setelah enam bulan berlalu.

Beliau yakin dengan 'Melayu mudah lupa' itu kerana tidak berapa tahun dahulu kita semua didedahkan dengan isu komisyen beratus juta ringgit dalam pembelian kapal selam scorpene yang pada suatu ketika dahulu tidak dapat menyelam itu. Rakyat hampir lupa dengan isu Felda yang sangat besar itu yang telah merosakkan kedudukan Felda sebagai agensi yang 'cash-laden' pada suatu ketika dahulu. tetapi setelah Najib membawa Felda keluar dari kementerian kemajuan tanah dan wilayah dan diletakkan dibawah ketiak beliau Felda semakin hari semakin pupus 'reserve' kewangannya.

Apa-apa sahaja yang dibawah kelolaan Najib tetap telah dan akan terus membawa masalah kepada agensi -agensi sentuhannya.  Apa malangnya tangan Najib ini Tuhan sahaja yang tahu dan kepada sesiapa yang mengetahuinya. 

Najib tahu dan merasakan yang beliau tidak lagi dihargai oleh rakyat kerana niat dan matlamat beliau memimpin itu sangat jauh menyimpang dari matlamat untuk membangunkan negara secara terancang dan membawa rakyat untuk membentuk perpaduan dikalangan mereka yang berbilang bangsa dan agama ini ketahap penyatuan yang unggul sebagai matlamat dan 'ultimate' kepada perjuangan kita. 

Malahan dalam keadaan beliau tertekan dengan orang melayu sendiri beliau dan kepimpinannya menggunakan isu perkauman yang serius untuk menyatukan orang melayu yang sudah berpecah belah sesama sendiri ini. 

Dalam pada itu beliau menggunakan kuasa kedudukan beliau untuk memujuk orang Cina menyokongnya dengan memberikan  bantuan kepada sekolah-sekolah Cina dalam ratusan juta ringgit sedangkan kaum Cina mahukan keamanan bagi mereka hidup berniaga dan bersama-sama hidup bahagia dalam keluarga besar Malaysia ini. Sekolah-sekolah Tamil walaupun tidak ada peringkat menengahnya telah mendapat bantuan jutaan ringgit tetapi itu semua bukan kemahuan mereka yang sebenarnya.

Tindakan-tindakan ini hanyalah diibaratkan sebagai menghilangkan sakit sementara sahaja. Itu hanyalah 'pain killer' yang tidak akan menyembuhkan penyakit sebenar kita. Apa yang perlu dilakukan ialah untuk menyembuhkan penyakit, bukannya menghilangkan sakit. Memakan panadol kerana sakit telinga dan tengkok acapkali hanya menghilangkan sakit buat seketika. Yang wajar disembuhkan ialah penyakit darah tinggi misalnya, maka kita tidak perlu makan panadol lagi apabila sakit telinga, mata atau tengkok kerana penyakit darah tinggi itu telah disembuhkan.

Dengan cara memberikan bantuan untuk mendapatkan sokongan sementara ini amat membebanklan rakyat kerana apa-apa bantuan yang diberikan tanpa membuat pertimbangan yang betul akan memaksa rakyat membayarnya.

Nyata Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang sangat tinggi kos penyelenggaraannya. Najib berbelanjan wang negara tanpa had seolah-olah wang itu boleh dipetik dari pokok petai atau pokok ketapang. 

Ramai mempunyai keyakinan yang Najib tidak lagi berjumpa dengan kaedah untuk memulihkan ekonomi yang begitu teruk sekarang ini. Hanya ego dan kononnya maruahnya sahaja yang membuatkan beliau malu untuk mengakuinya. Beliau bukan orangnya yang mampu untuk memperkukuhkan ekonomi kerana beliau hanya ditafsirkan sebagai penjahanam kepada ekonomi itu. Hendak kehadapan beliau susah dan hendak berundur pun beliau tidak mampu.  

Hasilnya rakyat yang merasakan bahang kelemahan beliau dan kabinetnya itu. Tidak ada siapa di kalangan kepimpinan beliau yang boleh diyakini untuk membina negara selain dari merosakkannya. Oleh itu jika ada usaha untuk mengenepikan beliau usaha itu adalah satu usaha yang sangat 'noble' pada pandangan hakikatnya. 

Justeru wajar kita fahami, rakyat bukannya saja-saja untuk menolak beliau ke tepi tetapi ia terpaksa dan wajar dilakukan bagi menyelamatkan negara dari menjunam ke lembah yang lebih aib lagi. Tetapi yang lebih baik ialah bagi beliau sendiri berundur dari jawatannya itu. Ikut contoh yang baik, jangan ikut contoh yang buruk.

Hussein Onn dulu walaupun beliau masih kuat sokongan tetapi oleh kerana beliau telah terasa yang ada segelintiran rakyat yang mempersoalkan beliau, beliau telah berundur secara terhormat tanpa sebarang masalah yang besar. Beliau cintakan negara dari cintakan jawatan yang beliau sandang.

Itu sebabnya kita melihat betapa tenangnya kehidupan beliau semasa persaraannya. Ketenangan dalam kehidupan kita terutamanya semasa persaraan bergantung kepada pilihan kita sendiri. Kita boleh pilih untuk mengikuti bisikan khatir yang bathil atau pun bisikan elemen yang haq. 

Kalau kita memilih untuk mengikuti hasutan yang bathil maka susahlah kehidupan kita semasa tua kita. Jika kita sedar kehidupan di akhir-akhir hayat kita memerlukan ketenangan, kita tidak akan melakukan kerja dengan panduan dari bisikan khatir yang jahat itu tadi. 

Najib perlu melakukan introspeksi yang intensif dan bertindak dengan cara yang dihormati rakyat yang ramai-ramai ini.

3 comments:

Anonymous said...

Bawa Najib kemahkamah dibawah Akta Rasuah ,Akta Pengubahan Wang dan Akta Cukai Pendapatan untuk kita tengok macam mana dia bersilat . Itu gunanya undang2 untuk semua rakyat .....

Anonymous said...

Dear Sir,
'Introspeksi yang intensif' needs guts and wisdom. Najib has neither. Yang lagi teruknya, dia ada bini yang mengajaknya masuk neraka dan musuh-musuh yang bertopengkan muka kawan yang akan menyebabkan dia bakal masuk sejarah Malaysia sebagai PM yang menconteng arang pada muka negara...

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)